Rabu, 3 Mei 2017

ISU TEKNOLOGI PENDIDIKAN



Dalam tugasan seterusnya, kami telah diminta untuk menghasilkan satu isu berkaitan bidang teknologi pendidikan dalam pengajaran dan pembelajaran pendidikan sukan. saya telah memilih isu tentang "penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran subjek pendidikan jasmani dan kesihatan di sekolah".


ISU: PENGGUNAAN ICT DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN PENDIDIKAN JASMANI DAN KESIHATAN DI SEKOLAH

Dalam tugasan ini akan membincangkan tentang penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran pendidikan jasmani dan kesihatan di sekolah. ICT (Information Communication Technology) adalah sistem yang membolehkan pengumpulan, pengurusan, manipulasi, perolehan, dan komunikasi maklumat dalam pelbagai bentuk. ICT dalam pendidikan bermaksud penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi yang menyokong proses teras dalam pengurusan dan pentadbiran pendidikan, pengajaran dan pembelajaran (P&P) serta pendidikan sepanjang hayat. Penggunaan ICT dalam P&P membolehkan aktiviti P&P dijalankan tanpa kekangan tempat dan masa, meningkatkan penggunaan sumber pendidikan, berupaya meningkatkan kualiti pendidikan di samping mempercepat proses pendidikan berasaskan kadar kebolehan pelajar.

Penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran akan dibincangkan mengikut aspek pengajaran guru (guru menggunakan ICT) dan aspek pembelajaran (murid menggunakan ICT). Dalam konteks pembelajaran, penggunaan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran boleh dikategorikan sebagai tutorial, penerokaan, aplikasi dan komunikasi. Dalam konteks pengajaran pula teknologi digunakan sebagai tutor dan alat demonstrasi.

Perbincangan ini juga menghubungkaitkan antara teori-teori pembelajaran dengan penggunaan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran. Penggunaan teknologi dalam P&P memerlukan kemahiran dan komitmen guru secara tepat dan berfokus. Peranan guru dalam penggunaan teknologi terlibat dalam semua peringkat proses pembelajaran bermula dari persediaan sebelum pengajaran, semasa dan penilaian selepas sesi P&P. Kegagalan guru dalam membuat perancangan yang teliti akan merugikan pelajar dan menjadikan proses P&P kurang berkesan. Penggunaan alat- alat teknologi semasa sesi P&P bukan sahaja menjadikan sesi tersebut lebih menarik dan mudah, tetapi mampu meningkatkan minat dan fokus para pelajar.

Holmes (1999), memberikan pandangan bahawa penggunaan ICT dalam P&P memerlukan guru yang bersedia dan fleksibel dalam menggunakan teknologi dalam kaedah pengajaran harian dengan mata pelajaran yang diajar. Mempelajari bagaimana menggunakan komputer belum mencukupi untuk membolehkan guru menggabungkan teknologi dalam P&P. Elemen yang penting dalam penggunaan ICT ialah pemahaman guru terhadap isi pengajaran dan implikasi berhubung dengan teknologi.

KELEBIHAN MENGGUNAKAN ICT DALAM PENGAJARAN DAN PENMBELAJARAN PENDIDIKAN JASMANI DAN KESIHATAN DI SEKOLAH

Teknologi yang semakin moden pada masa kini telah memudahkan lagi pengajaran dan pembelajaran di sekolah terutamanya dalam Pendidkan Jasmani dan Kesihatan. Ketika aktiviti-aktiviti kecergasan fizikal dilakukan, pengajar boleh menggunakan perakam video untuk merakam teknik-teknik pelajar semasa bermain sesuatu permainan, kemudian dapat menganalisis keputusan dan menawarkan cadangan penambahbaikan. Penggunaan model perakam video monitor LCD yang baru boleh mendapat maklum balas dengan serta merta. Penggunaan teknologi ini adalah untuk membantu pelajar memahami apa corak pergerakan yang baik dan bagaimana untuk menganalisis dan memotivasi para pelajar untuk kemahiran mereka dari masa ke masa. manakala video yang dihasilkan juga boleh digunakan untuk menunjukkan teknik yang betul kepada pelajar, terutama apabila pengajar tidak mempunyai kepakaran.

Oleh yang demikian, bagi guru-guru yang menggunakan video kamera dalam pengajaran pendidikan jasmani harus memainkan pita kamera dengan serta-merta selepas setiap prestasi, menggunakan maklum balas secara lisan dan memberi isyarat semasa memainkan pita, gunakan video secara berulang kali, ‘zoom in’ untuk memberi tumpuan kepada aspek-aspek tertentu, menukar sudut kamera, termasuk perspektif alam sekitar, dan menonton skrin yang berpecah. Dengan adanya kemudahan ini, sedikit sebanyak dapat membantu para pelajar memahami dengan lebih mendalam tentang apa yang dipelajari sekaligus dapat meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka dalam sukan.


KESAN PENGGUNAAN ICT DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN PENDIDIKAN JASMANI DAN KESIHATAN DI SEKOLAH

Penggunaan ICT dalam pendidikan ini juga mempunyai banyak kesan sama ada positif mahupun negatif. Namun penggunaan teknologi ini lebih banyak memberikan kesan yang positif dimana ianya dapat membantu guru-guru yang mengajar subjek Pendidikan Jasmani dan Kesihatan. Sebagai contoh penghasilan perisian berbantukan multimedia-komputer dalam pengajaran dan pembelajaran (p&p) mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK) Tingkatan Lima, membantu pelajar sekolah manfaatkan kehebatan teknologi teknologi maklumat dalam p&p mata pelajaran sukan. Guru mata pelajaran PJK boleh mempelbagaikan kaedah p&p, iaitu selain daripada menggunakan kemudahan fizikal seperti padang atau gelanggang, mereka juga boleh melaksanakan p&p di makmal komputer dengan menggunakan perisian yang direkacipta itu. Begitu juga dengan ujian kecergasan pelajar di sekolah boleh dijalankan dengan menggunakan beberapa peralatan yang telah direka cipta seperti pembangunan makmal pintar Ujian Kecergasan Jasmani Kebangsaan (UKJK), Alat Ujian Tekan TubiMenggunakan Sensor, Alat Ujian Lompat Jauh Berdiri Menguji Kekuatan Otot Berelektronik, Pembangunan Perisian Pembelajaran Berbantukan Komputer (PBK) bagi Subjek Kecergasan Fizikal dan sebagainya.

Manakala dalam bidang sukan pula, para jurulatih di sekolah khususnya, boleh mengadaptasikan penggunaan teknologi untuk membolehkan para atlet mendapat kesan yang positif dalam latihan dan seterusnya menjulang kecemerlangan dalam kejohanan yang disertai. Sebagai contoh, terciptanya alat pengesan batal dalam acara lompat jauh menggunakan sensor, alat koordinasi menggelecek bola keranjang berelektronik bagi ujian kecergasan fizikal, analisis kinematik pergerakan kaki dalam latihan sukan lawan pedang menggunakan alat bantuan latihan, alat kiraan mata berelektronik dalam sukan netbal dan sebagainya.

Di antara kelebihan penggunaan semua hasil rekacipta yang dinyatakan ini adalah, ianya lebih murah berbanding dengan kos yang perlu dibelanjakan sekiranya menggunakan peralatan yang sama yang terdapat di pasaran, baik dari dalam atau luar negara. Sebagai contoh, rekacipta dan pembangunan Makmal Pintar Ujian Kecergasan Jasmani Kebangsaan (UKJK) untuk Sekolah-sekolah di Malaysia yang mengandungi tujuh stesen ujian hanya menelan belanja sekitar lebih kurang RM5000 sahaja, sedangkan kos di pasaran melebihi RM30,000. Keadaan ini menunjukkan hasil rekacipta teknologi sukan tempatan amat kompeten dan boleh bersaing di peringkat global dengan bukan sahaja hasil yang sama mutunya dengan keluaran luar negara, malah boleh dimiliki dengan harga yang amat rendah, berpatutan dan mampu milik.

KESIMPULAN

Kesimpulannya, kemajuan teknologi moden adalah salah satu faktor yang turut mempengaruhi pembaharuan pesat berlaku dalam dunia pendidikan. Peranan teknologi semakin dirasakan oleh pelbagai sektor terutama sektor perniagaan, telekomunikasi, pentadbiran dan pendidikan. Pihak Kementerian Pelajaran harus mewujudkan dana khusus untuk penyediaan prasarana berkaitan teknologi kepada guru dan pendidik serta menyediakan pusat latihan dalam bidang tersebut agar mereka menjadi mahir dalam bidang tersebut. Akhir sekali, pendidik serta pelajar haruslah mempunyai kemahiran yang diperlukan untuk menggunakan teknologi dengan lebih berkesan. Setiap individu harus tahu bagaimana untuk menggunakan semua teknologi yang ada supaya tidak bergantung kepada orang lain untuk menyelesaikan sesuatu masalah.



1 ulasan:

  1. Perkongsian yang menarik :) Semoga bermanfaat untuk semua pihak terutama para guru, bakal guru dan para pelajar. Terima Kasih.

    NURUL AIN BINTI ARIFFIN
    A155723

    BalasPadam

BUTIRAN PERIBADI

NAMA : NURUL HANANI BINTI JAMALUDDIN NO MATRIK : ...